Monday 31 August 2015

PERKAHWINAN ORANG IBAN SARAWAK

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK

Masyarakat Iban di Sarawak merupakan etnik majoriti di Sarawak, Bumi Kenyalang. Seperti masyarakat peribumi yang lain, masyarakat Iban Sarawak juga kaya dengan adat dan warisan budaya yang masih dipegang zaman berzaman lamanya. Adat perkahwinan di dalam masyarakat Iban juga antara yang terunik kerana terdapat beberarap peraturan yang harus dilakukan sebelum layak bergelar suami isteri. Bagi masyarakat Iban disinilah bermulalah kesinambungan generasi yang akan datang jadi adalah wajar ianya dilakukan dengan sebaik mungkin dan beradat.
        Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki memainkan sentimen yang paling utama untuk diambilkira kerana disinilah letaknya samada pengantin lelaki itu boleh memikul tanggungjawab yang besar di dalam keluarga. Usia untuk pengantin lelaki masyarakat Iban sebaik-baiknya hendaklah melebihi 22 tahun. Melihat kepada faktor usia ini boleh dikatakan pengantin lelaki ini sudah pun akal baligh ataupun matang. Bagi pengantin perempuan masyarakat Iban, tiada pula had umur yang ditetapkan. Satu perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban adalah satu perkahwinan yang telah mengikut dan mematuhi kehendak adat. Masyarakat Iban mempercayai sekiranya ada mana-mana adat perkahwinan yang tidak diikuti maka adalah wajib untuk keluarga pengantin membayar denda bagi mengelakkan pasangan suami isteri ini nanti ditimpa musibah.Terdapat beberapa peringkat tertentu di dalam adat perkahwinan masyarakat Iban Sarawak iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.


 ADAT MERISIK
 Adat merisik dalam masyarakat iban, kebiasaannya perkahwinan ditentukan oleh keluarga pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna itu telah berkenan dengan seorang dara maka adalah perlu untuk si teruna meluahkan hasrat hati dengan keluarganya bagi memohon persetujuan. Apabila keluarga si teruna sudah merestui maka adalah wajar untuk keluarganya bertandang ke rumah si dara untuk adat merisik. Perjumpaan kedua-dua keluarga ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Dalam perjumpaan inilah kedua-dua keluarga akan berbincang tentang syarat-syarat perkahwinan seperti penentuan berian dan sebagainya. Sekiranya kata sepakat sudah didapati barulah pihak keluarga si teruna akan menghantar rombongan untuk ADAT MEMINANG si dara dengan secara rasmi.


ADAT MEMINANG DAN BERTUNANG
Bagi ADAT MEMINANG dan BERTUNANG masyarakat Iban Sarawak kebiasaannya pihak keluarga si teruna akan membawa rombongan yang tidak kurang daripada 5 – 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua di dalam keluarga si teruna. Pada masa ini, syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan serta diperjelaskan secara terperinci. Ini termasuklah soal mas kahwin serta lain-lain perkara yang berkaitan. Jika kata sepakat sudah diambil, ayahanda si teruna akan menanggalkan lapit atau ikan pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Kebiasaannya yang akan menerima bagi pihak si dara adalah ayahanda si dara atau mereka yang lebih berusia di dalam keluarga si dara. Jika sudah disambut segala ini maka barulah kedua-dua keluarga boleh memulakan perbincangan untuk majlis perkahwinan seperti tarikh dan bentuk majlis yang akan diadakan nanti. Mulai saat ini, si dara sudah secara rasminya tunangan kepada si teruna dan si dara tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna yang lain selain daripada tunangannya sendiri. Bagi keluarga si teruna pula adalah perlu untuk mereka memberitahu kepada sanak-saudara dan jiran tetangga mereka mengenai pertunangan anak mereka. Tiada tempoh yang khusus untuk durasi pertunangan ini tetapi menurut masyarakat Iban adalah lebih baik sekiranya majlis perkahwinan dipercepatkan untuk mengelak benda-benda yang tidak diingini daripada berlaku.


MAJLIS PERKAHWINAN
Majlis PERKAHWINAN bagi adalah kemuncak kepada perjalanan satu pasangan teruna dan dara bagi menempuh ikatan perkahwinan yang sah dan beradat. Majlis perkahwinan bagi masyarakat Iban hendaklah diatur dengan penuh cermat kerana sekiranya ianya melanggar adat maka dipercayai bencana akan menimpa kepada pasangan pengantin yang baru berkahwin kelak. Pihak keluarga pengantin lelaki diwajibkan untuk menyediakan segala kos perbelanjaan perkahwinan ini. Pihak keluarga lelaki juga dikehendaki untuk menyediakan segala barangan yang harus diberikan kepada keluarga pengantin perempuan. Di pihak keluarga pengantin perempuan pula ditugaskan untuk menyediakan pelbagai persiapan majlis perkahwinan seperti binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan kelak. Bagi urusan mengundang tetamu, kedua-dua keluarga pengantin lelaki dan perempuan akan melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan perkahwinan. Wakil kedua-dua keluarga pengantin akan membawa beberapa utas tali bersimpul sewaktu mengunjungi rumah tetamu yang dijemput. Beberapa utas tali bersimpul ini melambangkan berapa hari lagi majlis perkahwinan akan berlangsung. Contohnya sekiranya tali itu mempunyai 5 simpulan bermakna majlis perkahwinan akan berlangsung di dalam tempoh masa 5 hari lagi. Wakil pengantin kebiasaannya akan memberikan tali bersimpul itu kepada tuai rumah yang bertanggungjawab untuk menghebahkan tentang majlis perkahwinan ini nanti kepada seluruh anak buah rumah panjangnya.
Menjelang acara perkahwinan dilangsungkan, rombongan pengantin lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi dengan kain puak kumbu sekiranya melalui jalan sungai. Jika rombongan ini menggunakan jalan darat samada berkenderaan atau berjalan kaki, rombongan pengantin lelaki akan memukul gong di sepanjang perjalanan. Ini bertujuan untuk memeriahkan suasana perkahwinan serta memberitahu mereka yang disekeliling bahawa rombongan pengantin lelaki telah sampai. Sebaik sahaja rombongan pengantin lelaki telah sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Semasa bunyi tembakan meriam itu dilepaskan itulah Kepala rombongan pengantin lelaki akan dijemput untuk menyembelih khinzir sebagai penghormatan keluarga pengantin perempuan menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki. Di kepala tangga rumah panjang pengantin perempuan akan disediakan rangka yang berbentuk kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka rangka berbentuk kota ini yang diletakkan di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah. Selepas itu maka pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan disatukan dan bermulalah upacara adat yang dilakukan oleh orang tua yang tertentu. Upacara ini dilakukan untuk memohon restu agar perkahwinan kedua pengantin ini akan kekal sehingga ke hujung nyawa dan beroleh rezeki yang berlimpah ruah sepanjang mereka melayari bahtera penghidupan bergelar suami isteri.



Gambar 1 Menunjukkan kain pua kumbu yang digunakan pengantin




Gambar 2 Menunjukkan pasangan pengantin Iban

VIDEO PERKAHWINAN MASYARAKAT IBAN




     
Video 1 Menunjukkan Majlis Perkahwinan dan Pemakaian Masyarakat Iban



  
 Video 2 Menunjukkan Perkahwinan Tradisional Masyarakat Iban




PROSES PERKAHWINAN MASYARAKAT IBAN

Tatacara atau Proses Perkahwinan Masyarakat Iban


   



SOALAN KUIZ
  1. Senaraikan 3 proses perkahwinan masyarakat Iban?
  2. Berikan nama kain yang digunakan oleh pengantin 
  3. Adakah proses meminang terdapat dalam adat perkahwinan masyarakat Iban?